Sabtu, 19 April 2014

Hukum Mempercayai Horoskop/Zodiak



Horoskop dan Astrologi ialah ilmu yang digunakan bagi mencari maklumat serta ramalan terhadap perkara ghaib dari bintang-bintang serta bulan-bulan kelahiran seseorang manusia. Seringkali kita lihat horoskop seperti ini banyak dipaparkan di dalam majalah dan media massa terutamanya yang disasarkan kepada golongan remaja.

Ramalan Horoskop (Horoscope) DIPERCAYAI KONONNYA yang dapat menentukan ramalan personaliti seseorang, sifat peribadi dan ramalan nasib bulan-bulan dalam kehidupannya.

Ramalan sebegini membawa kepada syirik dan hukum mempercayainya ialah haram dan berdosa. Telah diriwayatkan oleh Abdullah ibn Abbas ra Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

Barang siapa yang mengambil sebahagian dari ilmu bintang (nujum) maka sesungguhnya dia telah mengambil sebahagian dari ilmu sihir yang setiap kali bertambah ilmu bintangnya (berkaitan ramalan) maka bertambah pulalah ilmu sihirnya . (hadith sahih diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasaie dan Ahmad).

SHOLAT mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau di internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira mereka percaya atau sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti berjumpa dengan tukang ramal.

Berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang :

Katanya, walau seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan pula ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran Muhammad.

Bagaimanapun katanya, jika membaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.

Telah jelas hukum sihir bahwa  haram menurut kesepakatan ulama dan membawa kepada kufur serta terbatal iman. Maka di dalam masalah ilmu horoskop ini hendaklah para pemuda-pemudi Islam berhati-hati dan tidak mempercayai apa-apa dari ramalan bintang-bintang ini yang jauh dari kebenaran dan dipenuhi kedustaan dan penipuan sekalipun terdapat kepadanya beberapa berita yang mendekati kebenaran.

Imam Bukhari ra telah meriwayatkan di dalam kitab sahihnya bahawa Qatadah, seorang ulama tabien yang terkenal telah berkata : Allah telah menciptakan bintang-bintang untuk tiga perkara iaitu perhiasan langit, pelempar syaitan dan sebagai tanda-tanda penunjuk arah maka barangsiapa yang mentafsirkan bintang-bintang selain dari tiga perkara ini maka ianya adalah salah dan sia-sia iaitu mensia-siakan nasibnya serta memaksa dirinya dengan sesuatu yang dia tidak mempunyai ilmu untuk mengetahuinya.

Mempelajari ilmu bintang seperti ilmu falaq, ilmu kaji bumi dan astrologi untuk tujuan kebaikan bagi mendapat maklumat yang berguna bagi keselamatan manusia dan faedah kepada manusia dari sudut ilmu pengetahuan yang membawa manfaat tidaklah salah. Tetapi mempelajari ilmu astrologi untuk tujuan horoskop dan meramal nasib maka hukumnya ialah haram dan berdosa.


Tidak ada komentar:

Posting Komentar